Menurut Ziana ketika kecil dia suka merayau keliling kampung bersama rakan-rakan seusianya. Kalau sehari tidak merayau, katanya dia rasa lain macam sahaja kerana perbuatan itu sudah seperti satu tabiat.
"Kami sebenarnya suka merayau-rayau tak tentu hala. Kadangkala tu sampai senja baru balik ke rumah. Emak yang menyedari sifat pelik tersebut, selalu memarahi Ziana dan memberi kata-kata nasihat. Namun entah kenapa, nasihat tersebut selalunya masuk telinga kiri, dan keluar telinga kanan.
"Satu lagi kegemaran Ziana ketika kecil ialah panjat pokok, bermain di lopak air dan main meriam kabait. Mungkin kerana terlalu nakal, pernah sekali tu Ziana jatuh berdebuk dari pokok jambu dan nyaris-nyaris tercedera.
Abah (Zain) yang melihat kejadian tersebut betul-betul terkejut kerana menyangkakan Ziana mungkin menemui maut. Bagaimanapun, bak kata orang tua-tua, budak nakal selalunya panjang umur.
"Kini, apabila Ziana bertemu semula dengan rakan-rakan lama, kami semua akan ketawa berdekah-dekah teringatkan kisah lama yang penuh nostalgia itu.


No comments:
Post a Comment